Keutamaan Waktu

permata post

Sifat Sombong Merugikan

Apabila kita tidak  berilmu, kita harus mengamalkan sifat merendahkan diri untuk belajar. Kita tidak boleh menjadi orang sombong, kerana dengan kesombongan itu, kita akan menjadi orang bodoh. Sekalipun seseorang itu mempunyai ilmu yang mencapai tahap ijazah kedoktoran (PhD), jika dia sombong,  ijazah kedoktorannya itu tidak akan menjadikan  dia lebih bijaksana. Hal  ini  kerana,  orang sombong dengan ilmunya  tidak akan suka ditegur dan dibetulkan. Dia  merasakan dirinya sentiasa benar dalam semua perkara. Maka jika dia tersalah, dia akan kekal dalam kesalahan itu. Dia juga tidak suka menadah ilmu daripada orang yang dirasakannya lebih rendah tahap ilmunya. Maka ilmunya tidak akan meningkat dan berkembang, tetapi akan beku atau hanya menjurus pada satu-satu bidang yang dia pakar sahaja.
 
Lain halnya dengan ahli ilmu yang tawaduk atau merendah diri. Seorang yang tawaduk akan sanggup menadah ilmu daripada siapa saja. Dia juga rela ditegur dan dikritik. Kepada orang yang merendah diri, Allah akan berikan padanya hati yang lapang, fikiran yang cerdas dan perasaan yang tenang untuk mendapat ilmu yang banyak.
 
Ilmu akan meninggikan darjat seseorang di sisi Allah dan manusia tetapi dengan syarat, orang itu merendah diri. Namun sekiranya dia  angkuh, tunggulah, ilmu itu yang akan menghenyaknya ke bawah. Ingatlah, rasa tidak berilmu adalah pakaian peribadi orang yang benar-benar berilmu.  
 
Sumber : Nota Fikir untuk Zikir (Pahrol M Juoi)

Kata Imam Syafie rah. a…

Imam Syafie berkata:

“Aku mampu berhujah dengan 10 orang yang berilmu tetapi aku pasti kalah dengan seorang yang jahil, kerana orang yang jahil itu tidak pernah faham landasan ilmu”.

Siapakah orang yang berakal?

Orang yang berakal ialah orang yang mengetahui dan menyedari bahawa kehidupan dunia tidak digunakan untuk bersenang-senang, kerana itu dia amat berhati-hati dalam menggunakan dan memanfaatkan masa dalam setiap kesempatan.

Penyakit umat

Rasulullah s.a.w bersabda: Kelak akan menimpa umatku penyakit umat-umatku terdahulu, iaitu penyakit sombong, kufur nikmat, dan lupa diri dalam memperoleh harta dan bermegah-megah dengan harta. Mereka terjurumus dalam jurang kemenangan dunia, saling bermusuhan, saling iri dengki dan dendam sehingga melakukan kezaliman.

(Hadith Riwayat Al-Haakim)

Semoga Allah melindungi kita dari musibah ini… aamiin

Nasihat sepanjang zaman

Barangsiapa merasa cukup dengan apa yang telah diberikan Allah, maka dia kaya.

Barangsiapa suka memandang harta orang lain, dia akan mati miskin.

Barangsiapa tidak redha (tidak rela) dengan apa yang telah diberikan Allah kepadanya, maka dia telah menentang keputusanNya (qadha’Nya)

Barangsiapa memandang remeh kesalahannya, maka dia akan memandang besar kesalahan orang lain.

Barangsiapa memandang besar kesalahannya, maka dia akan memandang remeh kesalahan orang lain.

Barangsiapa membuka aib orang lain, maka aib keturunannya akan tersingkap.

Barangsiapa menggali lubang untuk mencelakakan saudaranya, maka dia sendiri akan terjerumus ke dalamnya.

Barangsiapa bergaul dengan ulama, maka dia akan dimuliakan.

Barangsiapa memasuki tempat-tempat biasa dikunjungi orang-orang bodoh, maka dia akan direndahkan.

Dan barangsiapa memasuki tempat-tempat kemaksiatan, maka dia akan dituduh berbuat maksiat.

Antara kerendahan hati dan kesombongan diri

Musthafa Assibai berkata: Setengah pintar yang disertai tawadhu (rendah hati) lebih disenangi oleh hati manusia dan lebih bermanfaat bagi masyarakat dibandingkan dengan kecerdasan dan kepandaian yang tinggi yang disertai dengan kesombongan.